Friday, February 12, 2010

Bangunan-Bangunan Bersejarah Di Pulau Pinang

Terdapat banyak bangunan bersejarah yang menarik di Malaysia. Antaranya ialah Kubu Cornwallis dan Tokong Kek Lok Si.


Peta Pulau Pinang untuk melawat Kubu Cornwallis dan Tokong Kek Lok Si.

Kubu Cornwallis
Kubu Cornwallis mendapat nama sempena nama seorang Gabenor Jeneral di Bengal iaitu Charles Cornwallis. Gabenor Jeneral Corwallis ialah ketua angkatan tentera British yang menentang angkatan tentera Amerika yang diketuai oleh George Washington semasa Revolusi Amerika. Di dalam peperangan tersebut, tentera British tewas dan Gabenor Jeneral Cornwallis menyerah diri kepada George Washington. Kota Cornwallis yang terletak di Padang Kota Lama menandakan tapak penempatan pertama orang British di Tanah Melayu.
Kubu Cornwallis dibina pada tahun 1786 oleh Francis Light sebaik sahaja beliau berjaya mengambil alih negeri tersebut daripada Sultan Kedah. Ia terletak di timur-laut Pulau Pinang. Kota yang dibina oleh Kapten Francis Light tersebut pada asalnya dibina dengan menggunakan kayu nibong tanpa binaan kekal dan melitupi kawasan seluas 417 kaki persegi. Tiga tahun kemudian, ia dibina semula untuk memenuhi keperluan sebagai pusat pentadbiran dan pangkalan tentera sejajar dengan perkembangan kuasa empayar British di rantau ini. Batang nibong itu telah diganti dengan batu-bata. Kota ini siap dibina pada tahun1793 semasa perkhidmatan Norman Macalister dengan kos sebanyak $80,000. Pada mulanya, Francis Light membina Kota Cornwallis sebagai kubu pertahanan untuk menahan serangan angkatan tentera Sultan Kedah yang ingin mengambil kembali Pulau Pinang setelah Francis Light mengingkari janji. Selain itu, ia bertujuan bagi mempertahankan kepentingan British dari serangan Perancis. Walau bagaimanapun, Kubu Cronwallis tidak pernah terbabit dalam apa jua peperangan.
Antara keistimewaan Kubu Cornwallis ialah pelan lantai berbentuk bintang dan mempunyai sepucuk meriam yang dipercayai mempunyai kuasa ajaib. Nama meriam yang terbesar itu ialah “Seri Rambai”. Ia merupakan hadiah daripada Belanda kepada Sultan Johor pada tahun 1606. Pada tahun 1613, Portugis telah mengambil Seri Rambai ke Java dan meriam itu ditempatkan di sana sehingga 1795 ketika ia diberi kepada Acheh untuk dibawa ke Kuala Selangor. Pada tahun 1871, Seri Rambai telah dibawa ke Pulau Pinang. Namun demikian, sebelum meriam itu sampai tasik Malaysia, ia ditangkap oleh lanun dan dibuang ke dalam laut berhampiran Esplanade. Beberapa cubaan telah dibuat untuk menyelamatkannya tetapi gagal. Hanya pada tahun 1880, meriam itu dapat diselamatkan daripada Selat Melaka dan akhirnya ditempatkan di Kubu Cornwallis.


Meriam Sri Rambai yang dipercayai mempunyai kuasa-kuasa ajaib.


Replika tapak perkhemahan British di dalam Kubu Cornwallis.

Tokong Kek Lok Si
Tokong Kek Lok Si di Pulau Pinang merupakan kuil Buddha yang terbesar di Pulau Pinang dan di Asia Tenggara. Daya tarikan utama di kuil Kek Lok Si ialah patung Dewi Kuan Yin yang besar. Selain daripada monasteri, terdapat pagoda setinggi tujuh tingkat yang mempamerkan 10,000 imej Buddha. Tokong Kek Lok Si turut memiliki banyak patung dewa-dewa dan laman yang mempunyai kolam besar yang dipenuhi kura-kura dan ikan koi.
Pembinaan tokong bermula pada 1890 dan diilhamkan oleh ketua sami dari Tokong Dewi Kuan Yin di Pitt Street. Dengan sokongan daripada perwakilan konsuler China di Pulau Pinang, projek direstui oleh Maharaja Guangxu yang telah mengurniakan 70,000 edisi kitab Buddha yang terhad kepada tokong ini. Dermawan utama Tokong Kek Lok Si pada tahun 1906 ialah Kapitan Chung Keng Quee.
Pada tahun 1930, pagoda utama tujuh tingkat atau Pagoda 10,000 Buddha telah siap dibina. Pagoda ini menggabungkan bentuk oktagon Cina pada tingkat bawah, reka bentuk berunsur Thai pada bahagian tengah dan mercu berbentuk mahkota yang berunsur Burma yang mencerminkan kedua-dua pengaruh agama Buddha Mahayana dan Theravada.
Pada tahun 2009, sebuah patung gangsa 30.2m Kuan Yin selesai dibina dan dibuka untuk umum. Ini menggantikan plaster putih patung Kuan Yin dahulu yang rosak akibat kebakaran beberapa tahun dahulu. Patung ini terletak di sisi bukit di atas pagoda sementara kepala patung yang dahulu selamat daripada kebakaran yang diawetkan dan ditempatkan pada sudut kanan patung baru.
Semasa menuju tokong, terdapat banyak kedai cenderamata di kiri kanan anak tangganya. Kedai-kedai ini dilindungi daripada cahaya matahari dan hujan oleh bumbung yang menutupi sepanjang perjalanan menuju ke tokong. Dalam perjalanan ke tokong, terdapat sebuah kolam yang dipercayai boleh mengampun dosa sekiranya membebaskan kura-kura peliharaan di sana.
Tokong itu terdiri daripada beberapa dewan besar yang digunakan untuk berkumpul dan berdoa. Kerja kayu yang halus dan bercat dengan warna yang cerah digunakan untuk menghias tokong. Terdapat sebuah gondola yang boleh membawa pelancong-pelancong ke puncak bukit. Di sebuah platform yang tinggi, terdapat sebuah kolam yang dipenuhi dengan ikan koi and sebuah patung Kuan Yin besar yang juga dikenali sebagai Avalokitheshvara, “Bodhisattva of Universal Compassion”.


Patung Kuan Yin di Tokong Kek Lok Si.


Pintu yang terhias dengan indah di tokong.